Wednesday, April 8, 2009

Terserlah Kewibawaan Dato Seri Ir Hj Nizar.

Oleh Ahmad Lutfi Othman


:: Mesej Bukit Gantang ::
Ia bukan sekadar kemenangan berganda (sebenarnya di Semenanjung sudah 4-0, bermula Permatang Pauh, Kuala Terengganu, seterusnya Bukit Gantang dan Bukit Selambau), tetapi kejayaan Dato' Seri Ir Haji Mohammad Nizar Jamaluddin dalam pilihan raya kecil ini lebih terasa manis dan lazatnya.

Memang cukup mendebarkan. Ya, persaingan yang sengit dan sukar diramal. Malah lebih ramai menjangkakan Nizar bakal kecundang ekoran tidak mendapat sokongan majoriti pengundi Melayu. Isu-isu seperti tohmahan menjadi "boneka DAP" dan "sembah derhaka" dibimbangi berjaya mempengaruhi pengundi untuk kembali menyokong BN. Tidak sedikit teman-teman yang turun berkempen di Bukit Gantang meluahkan rasa curiga terhadap kemampuan Nizar untuk memenangi hati pengundi Melayu. "Ada kawasan Melayu yang kita langsung tak dapat masuk untuk berkempen. Malah, banyak rumah yang menaikkan bendera Umno dan BN. Jentera BN juga agak agresif berkempen," lapor wartawan Harakah Perak. "Tak ramai orang yang hadir dalam program ceramah kita," tambahnya lagi.

Di samping itu, kehadiran Dr Mahathir Mohamad di hari akhir kempen pula dikatakan boleh menyebabkan pengundi bukan Melayu memikirkan semula sokongan terhadap calon Pakatan Rakyat. Tidak kurang juga yang membayangkan "situasi terburuk" jika ada pengundi yang terpengaruh dengan beberapa langkah awal Dato' Seri Najib Razak, yang baru empat hari mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri. Saya pula memang tidak suka meletakkan harapan tinggi kepada sesuatu impian bimbang kecewa akhirnya.

Dibandingkan dengan debar pilihan raya kecil Kuala Terengganu, saya kira Bukit Gantang lebih mencemaskan lagi. Pertama, ia kerusi yang PAS pertahankan. Kedua, sejak awal kita sudah isytiharkan keputusannya nanti melambangkan referendum seluruh rakyat Perak terhadap krisis politik dan perlembagaan yang tercetus awal Februari lalu. Tidak dapat saya bayangkan apa akan terjadi sekiranya Nizar dikalahkan, seolah-olah ini pertandingan hidup atau mati.

Pendek kata, jika berjumpa sepuluh orang yang balik berkempen dari Bukit Gantang, atau sekadar membuat tinjauan rambang di sana, lebih separuh daripadanya tidak meletakkan harapan tinggi PAS dapat mengekalkan kerusi berkenaan. "Saya hanya menyandarkan impian kepada ketokohan Nizar semata-mata, dari sudut lain, terutama kepada pengundi Melayu, saya benar-benar bimbang," kata seorang kawan.

"Bukankah semasa penamaan calon baru-baru ini, jumlah penyokong Pakatan jauh lebih ramai," saya cuba menduganya. "Itulah masalahnya, kita sudah melepasi kemuncak. Selepas hari penamaan calon, 29 Mac, kita terus merosot," reaksi pantas kawan saya itu menambahkan lagi kerisauan.

"Saya pula tak pasti apakah Nizar kini menjadi asset atau liabiliti kepada kita di Bukit Gantang. Tuduhan dia boneka DAP atau jual tanah kepada orang Cina menyebabkan pengundi Melayu meraguinya," kata seorang lagi kawan.

"Kalau setakat dua isu itu, tak payah susah hatilah, kita ada fakta konkrit yang cukup untuk menyanggahnya," saya pula cuba mententeramkan hati mereka dan sekali gus menenangkan gelodak rasa saya sendiri. "Ini bukan soal fakta, ini soal sentimen dan persepsi," balas seorang daripada mereka.

Rupanya kadang-kadang kita sendiri terkeliru untuk membaca realiti sebenar di lapangan. Pengamat politik juga boleh tersilau sehingga membuat rumusan yang agak terpesong, sedangkan para pengundi, khususnya generasi di bawah 50 tahun, sudah melangkah ke dunia politik baru. Emosi mereka tidak mudah lagi dipancing dengan sentimen perkauman atau dakyah politik lama yang dangkal dan hodoh itu.

Apatah lagi sosok tubuh Nizar yang karismatik dan kini menjadi ikon baru itu sudah cukup untuk mematikan segala tohmahan tidak berasas, sebaliknya menyuntik keyakinan baru yang luar biasa kesannya kepada rakyat Perak. Ketokohan Nizar sudah melangkah melampaui sempadan negeri dan bersedia untuk menawan hati audien yang lebih luas di seluruh pelosok negara.

Kemenangan calon PAS dan KeADILan, masing-masing di Bukit Gantang dan Bukit Selambau, dengan majoriti lebih besar, pastinya membuatkan tidur Najib pada malam Selasa lalu terganggu. Ia satu mesej jelas penolakan akar umbi terhadap kepimpinan beliau yang cuba untuk melakukan kejutan dengan beberapa pembaharuan kosmetik pada hari pertama dinobatkan sebagai Perdana Menteri keenam.

Membebaskan 13 tahanan ISA (dan terus mengurung tahanan yang lebih lama tersiksa di Kamunting) serta menarik balik penggantungan penerbitan Harakah dan Suara Keadilan (serta mengekalkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, juga peraturan karut-marut yang dikenakan ke atas semua lidah rasmi parti) jelas tidak berupaya untuk mengelirukan rakyat yang semakin benci dan muak dengan pendekatan politik lama. Bukankah orang masih ingat, itulah juga yang dilakukan Dr Mahathir ketika mula-mula dilantik menjadi perdana menteri? Tindakan Najib hanya memperkukuhkan tanggapan umum bahawa era Mahathirisme seolah-olah sekali lagi bakal mencengkam tanahair tercinta.

Apa pun telahan yang dibuat, senario politik Malaysia selepas tsunami pertama pada Mac 2008 menjadi semakin menarik. Ia tidak mungkin berpatah balik ke era lama, seperti yang cuba diusahakan Dr Mahathir. Pilihan Najib semakin terbatas. Peluangnya untuk mewariskan takhta di Seri Perdana kepada pemimpin Umno-BN nampak tipis. Terpulang kepada pemimpin utama Pakatan Rakyat untuk mengisi kekosongan ini ... (Ahmad Lutfi Othman akan mengupas isu terkini di dalam blog beliau,layari blog beliau di http://jiwapejuangkini.blogspot.com/ )

Monday, April 6, 2009

Menanti Isyarat Istimewa 2 Bukit,1 Batang..

Hari ini hari mengundi buat tiga kawasan pilihan raya kecil. Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai mencatat sejarah. Ketiga-tiga kawasan ini mempunyai keunikan dan keistimewaan tersendiri dalam lanskap politik tanahair. Begitu juga dengan negeri Perak, Kedah dan Sarawak.

Ia bukan sekadar memilih Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri. Pilihan raya ini jauh lebih penting daripada mengundi wakil rakyat baru.Kepada Dato' Seri Najib Razak, Perdana Menteri ke-6 yang baru mengangkat sumpah, kemenangan BN pada ketiga-tiga kawasan berkenaan cukup penting untuk menyuntik semangat menebus kekalahan dalam dua pilihan raya kecil sebelum ini.

PAS juga perlu menang di Bukit Gantang bagi membuktikan rakyat Perak menolak budaya politik rimba rampasan kuasa Februari lalu apabila kerajaan Pakatan Rakyat dijatuhkan secara tidak bermaruah. Lebih ironis lagi apabila gerak kerja BN itu didalangi Najib sendiri.Selepas Perak, BN cukup mengimpikan untuk menawan semula Kedah. Justeru, Bukit Selambau mempunyai keistimewaan tersendiri.

Ia juga satu petanda awal sama ada pengundi bukan bukan Melayu, khususnya masyarakat India, masih kekal menolak BN, seperti yang ditunjukkan secara nyata dalam pilihan raya umum 8 Mac 2008, atau sudah kembali lunak untuk menyokong BN.

Keputusan malam ini juga memberi petunjuk tersendiri terhadap kerajaan Pakatan Rakyat Kedah pimpinan Ustaz Azizan Abdul Razak.Menjelang saat-saat akhir hari mengundi, ramai bimbang dengan kecenderungan pengundi Melayu di Bukit Gantang.

Ada yang beranggapan segala tohmahan terhadap Nizar, misalnya dakwaan beliau boneka DAP dan menjual tanah kepada orang bukan Melayu, boleh mempengaruhi pengundi Melayu. Apakah jika Nizar kalah, maka segala perjuangannya untuk mendapatkan kembali jawatan Menteri Besar Perak berkubur begitu sahaja?

Apakah jika Nizar tidak terpilih sebagai Ahli Parlimen Bukit Gantang maka ia bermakna majoriti rakyat Perak juga menolak beliau?

Kempen untuk 2 bukit dan 1 batang terus membuktikan bahawa Umno-BN di bawah Najib tetap tidak bersedia untuk menyediakan padang permainan yang sama rata. Ia dipenuhi dengan budaya politik rimba BN, yang sarat dengan ugutan-ancaman dan tawaran-rasuah.

Lihat saja bagaimana TV1 menyiarkan secara langsung ucapan Dr Mahathir ketika berkempen di Bukit Gantang. Di mana etika dan tatasusila dalam sebuah negara demokratik apabila kemudahan awam diperalatkan semahunya untuk kepentingan politik BN?

Ini bermakna kita langsung tidak boleh meletakkan harapan bahawa Najib bakal membawa perubahan, selaras dengan beberapa tindakan awalnya mengenai penahanan ISA dan permit penerbitan Harakah, Suara Keadilan.
Menang atau kalah memang adat pertandingan. Cuma, yang disesali jika pertandingan itu dicemari dengan elemen tidak demokratik, rasuah, ugutan, ancaman, dan salahguna kuasa. Sampai bila kita harus menunggu untuk melihat pilihan raya di negara kita dapat dijalankan secara adil, telus dan bebas?
Sepatutnya dengan peralihan kepimpinan baru, proses demokrasi Malaysia menjadi semakin matang dan diperkukuhkan lagi dengan nilai-nilai budaya politik baru. PAS boleh saja menerima kekalahan jika itulah yang dikehendaki rakyat, dan ia harus menilai di mana kelemahan bagi memastikan untuk pilihan raya berikutnya ia dapat diterima majoriti rakyat. Namun yang dikesalkan jika padang permainan tidak sama rata dan pengadilnya bersikap berat sebelah.PAS juga harus meneliti mesej yang hendak disampaikan pengundi melalui keputusan malam ini. Mungkin PAS terus dapat mengekalkan kemenangan, tetapi dengan undi yang diperolehinya nanti, banyak perkara yang boleh dirumuskan demi kelangsungan perjuangan Islam seterusnya. Kita harapkan proses pengundian hari ini berjalan baik, insya Allah.




laman web http://jiwapejuangkini.blogspot.com/ juga merupakan blog Ahmad Lutfi Othman

Sunday, April 5, 2009

Hujjah dirampas, Harakah dikembalikan; apa muslihat Najib?


MEMANG satu sejarah pun. Harakah yang digantung penerbitan selama tiga bulan bermula 23 Mac - hari gelita kebebasan akhbar Malaysia - tiba-tiba pada malam 3 April, Perdana Menteri baru, Dato' Seri Najib Razak melalui kenyataan ringkas di TV, mengumumkan arahan itu ditarik balik.
Tepat jam 8.20 malam, kami menerima faks surat Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Syed Hamid Albar yang memaklumkan keputusan menarik balik penggantungan itu berkuatkuasa serta-merta.
Panggilan telefon SB
Sedangkan pada jam 9 pagi, hari yang sama, saya menerima panggilan telefon daripada seorang anggota polis Cawangan Khas (SB) Bukit Aman yang memberitahu bahawa akhbar tidak berkala, Hujjah - yang kami terbitkan sebagai alternatif kepada Harakah - perlu diambilnya bagi tujuan siasatan.
Dalam masa sama, saya menerima SMS, "1350 naskhah Hujjah dirampas di Bukit Mertajam atas kesalahan melanggar Seksyen 5(1) dan 11(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984".
Pencetak di Shah Alam pula memberitahu bahawa selepas solat Jumaat, unit penguatkuasa bahagian kawalan penerbitan, KDN akan mengunjungi premis mereka.
Sebelum itu, saya sudahpun mencetak ratusan ribu risalah mengecam langkah "bacul-penakut" KDN menggantung penerbitan Harakah, anggaran sebanyak 25 keluaran. Sebahagian kecil daripadanya, termasuk stiker dan poster, telah diedar kepada orang ramai sewaktu kami menghadiri perhimpunan raksasa 50,000 orang pada hari penamaan calon pilihan raya kecil Bukit Gantang, di Taiping.
Ramai juga yang memesan kemaja-T "bebaskan Harakah" yang kami pakai pada hari itu. Mereka tertarik untuk turut sama berkempen membebaskan Harakah. Saya sekadar dapat berjanji untuk memenuhi harapan mereka yang ternyata begitu bersemangat.
Namun, Najib lebih licik dan, untuk pusingan pertama, mungkin dapat memintas kami. Ketika ramai orang marah dan imejnya semakin memburuk, beliau memilih untuk membuat pengumuman awal, pada hari beliau mengangkat sumpah jawatan PM, bahawa penggantungan Harakah dan Suara Keadilan ditarik balik serta-merta.
Taktik Najib sudah ditelah
Sebenarnya rakan-rakan media saya telah menduga taktik Najib ini beberapa hari lalu. "Selain mahu memulihkan imejnya, Najib akan pastikan tiga pilihan raya kecil 7 April, terutama Bukit Gantang dimenangi BN," kata seorang editor kanan sebuah akhbar harian terkenal.
Bukit Gantang, kata rakan saya itu, jauh lebih penting kepada Umno-Najib berbanding Bukit Selambau, apatah lagi Batang Ai. ia satu referendum, atau pungutan suara rakyat terhadap pemerintahan Najib. Lagi pula Najib adalah Pengerusi Perhubungan Umno Perak yang bertanggungjawab secara langsung dalam operasi tidak bermoral rampasa kuasa, awal Februari lalu.
Dari sudut lain, langkah menyekat Harakah dalam zaman internet ini langsung tidak membawa kesan besar. Apatah lagi terdapat ruang dalam Akta Mesin Cetak dan Penerbitan yang membenarkan penerbitan bahan tidak berkala, iaitu yang diterbitkan hanya sekali.
Saya ada pengalaman tersendiri apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan penerbitan akhbar Haraki tidak bercanggah dengan undang-undang kerana ia diterbitkan sekali sahaja.
Desakan rakyat juga tinggi, amarah pembaca Harakah sukar dibendung dan Najib tiada pilihan melainkan cuba mempamerkan imej lebih terbuka sepertimana ditunjukkan mentornya, Dr Mahathir Mohamad ketika mula menjadi Perdana Menteri, 1981. (Mahathir masuk semula Umno selepas Najib dilantik PM dan Abdullah yang "dibencinya" tidak lagi Presiden Umno).
Bagaimanapun, masih banyak sekatan ke atas Harakah yang perlu ditarik balik, antaranya syarat-syarat ketat jualan dan isi kandungan yang cukup terbatas. Najib harus bersedia untuk memansuhkan segala peraturan yang karut-marut itu. Saya perlu ruang selesa untuk membahaskan hal ini ... _

Wednesday, March 25, 2009

Arahan Najib dan jerat Harakah

Penggantungan penerbitan Harakah dan Suara Keadilan selama tiga bulan memang mengejutkan. Saya juga pelik memikirkan rasional di sebalik tindakan tidak bertamadun itu, terutama dalam konteks kepentingan Umno-BN yang kini "menggelepar", apatah lagi ketika berdepan tiga pilihan raya kecil yang cukup kritikal itu?
Walaupun momentum Permatang Pauh dan Kuala Terengganu mesti disekat tetapi jalan yang dipilih boleh mengundang padah yang lebih celaka. Zaman sudah berubah namun Umno kekal sombong dengan pendekatan usang yang memerangkap diri. Menutup akhbar adalah langkah primitif si bacul yang gentar untuk bersemuka dengan kebenaran. Ia hanya membayangkan kekerdilan jiwa, kemandulan idea, kelemahan daya tahan dan manifestasi minda tertutup kelas tiga.

Sukar dibayangkan, di zaman langit terbuka, maklumat mudah dipetik di hujung jari, kemudahan jalur lebar internet dimantapkan dengan dana besar kerajaan, tiba-tiba pemerintah mengambil sikap bebal menolak keterbukaan. Lebih malang apabila sanggup berbohong dan berdalih palsu, semata-mata mahu menegakkan benang basah.

Gantung tiga bulan - mendekati 100 hari - merupakan satu tempoh yang terlalu panjang bagi sebuah akhbar. Selama ini Harakah terbit mengikut jadual termasuk di zaman Dr Mahathir Mohamad. Harus diingat permit Harakah diberikan pada 1 Mac 1987, ketika Umno bergolak hebat, di ambang kehancuran. Malah, apabila Mahathir menambah kekerapan Harakah daripada sekali seminggu kepada dua kali seminggu, pada 18 Jun 1990, negara bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum yang agak kritikal buat Umno apabila Tengku Razaleigh Hamzah berjaya membentuk pakatan Angkatan Perpaduan Ummah dan Gagasan Rakyat. Justeru, adalah silap besar jika Najib Razak merasakan sokongan terhadap Umno dapat dipulihkan jika seteru politiknya dikuburkan terlebih dahulu.

Pendekatan mendera Najib hanya membawa mesej negatif yang sama sekali tidak menguntungkannya. Umno memang perlukan perubahan segera, jika tidak ia sendiri akan diubah oleh rakyat dengan mengalihkannya daripada kerusi kuasa. Anehnya, selepas setahun dikejutkan tsunami 8 Mac 2008, Umno bukan sahaja membeku di takuk lama, malah nampak semacam mereput. Saya ramalkan Najib mungkin akan dikenang sebagai Perdana Menteri BN yang terakhir. Alasannya, anak Tun Razak ini masih terikat dengan mentaliti lama dan takut bersaing dalam gelanggang terbuka. Dan anak-anak muda sedang memerhatikan gelagat Najib sambil memberi markah atas upaya dirinya.

Secara peribadi, agak lama juga saya tidak aktif dalam kerja-kerja mempromosi kebebasan media. Namun, penggantungan Harakah bagai menyentak rasa peduli saya terhadap usaha membebaskan segala belenggu yang merantai dunia kewartawanan. Tindakan KDN itu, yang cuba dijustifikasi menterinya, Syed Hamid Albar perlu diberi sanggahan secukupnya, biar bergemerincing paluan gendang perang sebagai muzik latarnya. Syed Hamid mendakwa Harakah dan Suara Keadilan memutar belit fakta, mengelirukan maklumat dan percubaan menyuntik perasaan benci orang ramai terhadap kerajaan dan pemimpin. "Pegawai KDN beberapa kali memanggil dan menasihati mereka tetapi kelihatan ia terus menggunakan cara keterlaluan untuk mempromosi ideologi politik," tambahnya.

Meneliti daleh Syed Hamid itu, saya bimbang beliau tidak bercakap benar atau tidak mendapat maklumat tepat dari pegawainya. Kami kerap dipersalahkan kerana menjual Harakah di tempat awam kepada bukan ahli PAS dan kandungan Harakah sendiri yang memaparkan juga bahan-bahan selain berita PAS. Syarat "karut" itu, bagi saya, harus digugurkan. Kempen mesti dilancarkan di seluruh negara bagi membuang segala peraturan "tidak munasabah", sekali gus menggesa agar Akta Mesin Cetak dan Penerbitan dimansuhkan. Mungkin kempen 2 bukit dapat dijadikan landasan kukuh untuk menyedarkan rakyat tentang undang-undang "karut-marut" ini.

Bagaimanapun, dalam masa tiga bulan ini, kami akan mencari jalan keluar dengan terus menerbitkan tabloid tidak berkala, selain lebih aktif mengemaskinikan Harakahdaily. Kami cuba membuktikan bahawa Najib sebenarnya silap besar menggantung Harakah. Episod ini pasti sukar dilupakannya jika kemudian hari nanti ternyata benar Umno terlungkup di zaman pemerintahannya dan beliau mencatat rekod sebagai Perdana Menteri BN yang terakhir. _

Penggantungan Harakah, tembakan pemedih mata dan pencalonan Nizar

ISNIN 23 Mac, hari bergelora. Meskipun tiada hujan, namun langit kelabu. Sejak Harakah dilancarkan 22 tahun lalu, tiada detik sukar seperti petang itu.

Tepat jam 4.55 petang, faks dari Bahagian Kawalan Penerbitan, Kementerian Dalam Negeri, memancung keheningan pejabat. Saya agak keletihan, baru pulang dari Putrajaya. Fikrah Harakah edisi Isnin menunggu untuk diisi. Bahan belum mencukupi.

Sebaik keluar lif di tingkat dua, rakan wartawan Nyza Ayob menyapa: "Dah tengok surat KDN?' Tanpa menjangka sesuatu yang buruk bakal berlaku, saya hanya menggeleng. Entah kenapa, tiba-tiba sahaja debar jantung berdegup kencang.

"Harakah kena gantung tiga bulan!" Maklum Nyza, masih tersenyum. Bagi saya, ia bagai petir menyambar. Surat ringkas dua perenggan hanya memaklumkan KDN menggantung permit lidah rasmi PAS yang kini sudah dianggap akhbar alternatif no. 1 itu, selama tiga bulan berkuatkuasa serta merta.

Terdetik di hati, "masakan secepat itu, bukankah baru kelmarin Pengarah Urusan, Dato' Kamarudin Jaffar menelefon pegawai KDN menjelaskan isu surat tunjuk sebab dari KDN?"
Segera saya memanggil pembantu, Atriza Umar, mencarikan surat bertarikh 26 Feb lalu, yang ditandatangani Che Din Yusoh. Saya mahu dapatkan nombor telefon bimbitnya -- sambil menahan sabar -- untuk mendapatkan penjelasan. Ya, mengapa KDN harus tergesa-gesa sekali? Dunia belum kiamat. Umno belum terlungkup.

Bukankah selama ini KDN banyak melakukan kesilapan dalam membuat keputusan, sehingga terpaksa menarik balik, atau dalam beberapa kes tahanan ISA, antaranya membabitkan seorang wartawan wanita sebuah akhbar Cina, harus membebaskan segera selepas memberikan alasan penahanan yang tidak masuk akal.

Memang KDN tidak belajar dari kesalahan walaupun menterinya bertukar, perdana menteri bergilir.

Perbualan saya dengan Che Din tidak wajar dirakamkan di sini. Nokhtah.

Saya mula berkhidmat di Harakah seawal seminggu sebelum Harakah sulung diterbitkan, April 1987. Walaupun keluar-masuk Harakah lima enam kali, rasa saya tidak pernah sekalipun Harakah gagal diterbitkan atas halangan KDN, waimma satu keluaran.

Apa yang tidak disebut tentang "kediktatoran" Dr Mahathir Mohamad semasa menjadi perdana menteri dan menteri dalam negeri? Namun beliau hanya mencantas kekerapan Harakah, daripada dua kali seminggu kepada dua kali sebulan.

Dalam era reformasi yang memuncak itu, ketika edaran Harakah meningkat daripada 60,000 naskhah sehingga mencecah 400,000 naskhah, dan Mahathir cemas menghadapi pilihan paling getir baginya, 1999, tetapi Harakah tidak pernah diganggu seteruk ini.

Memang jualannya dihadkan kepada ahli PAS di premis parti sahaja dan kandungannya ditekankan agar mematuhi skop dan konsep yang diluluskan, iaitu hanya memuatkan berita dan rencana yang berkaitan PAS sahaja, tetapi arahan gantung, apatah lagi selama 3 tahun - satu tempoh yang relatif panjang - tidak pernah dikuat-kuasakan.

Abdulah Ahmad Badawi pula, selepas kalah lebih teruk pada 8 Mac 2008, yakni lebih buruk berbanding prestasi Mahathir pada Nov 1999, namun beliau tetap menerima permohonan PAS untuk mengembalikan kekerapan Harakah kepada dua kali seminggu. Ada tanda jiwa besar di situ.

Lalu, bahana siapakah yang mencetuskan onar sedahsyat ini? Menterinya masih Syed Hamid Albar, Abdullah tetap PM, tapi siapakah yang mahu percaya dengan dakwaaan bahawa tindakan zalim ini bukan didorong oleh kepentingan politik yang cukup sarat? Zaman sudah berubah. Dunia semakin telus. Media baru membentuk realiti.

Tanpa perlu berpakat, semua mata tertumpu kepada Najib Razak. Tuduhan ditujukan kepadanya. Beberapa hari lepas saya menelefon Zunar, Ketua Pengarang Suara Keadilan, memberitahu Harakah kena surat tunjuk sebab, atas alasan teknikal yang lazim digunakan.
Zunar menyanggah tanggapan bahawa Najib akan secepat itu "main kasar" dengan akhbar alternatif. Saya boleh bersetuju dengan Zunar. Kami langsung tidak terlintas Najib akan melakukan perbuatan sehodoh ini.

Malamnya, selepas makan di Restpran Haslam, saya mendapat SMS daripada Azizi Hj Abdullah: "Belum apa-apa gas dan water canon dah disembur di Padang Awam Cinta Sayang, Sungai Petani malam ini. Dajai. Habis cempera."

Saya terus hubungi wartawan Kedah, Izwan Abdul Halim. Dari jauh, suara Izwan serak, macam menanggung pedih disembur gas pemedih. Segera saya putuskan talian. Darah menyirap lagi.
Nampak jelas penggantungan Harakah, Suara Keadilan memang dirancang untuk menghadapi situasi sulit BN terutama pilihan raya kecil dan perhimpunan Umno yang penuh rasuah itu.
Mujur ada berita menyejukkan hati. Ir Mohamad Nizar Jamaluddin dipilih calon PAS Bukit Gantang. Peluang Nizar terbuka, tapi tidak boleh diremehkan potensi menang BN. Ini pilihan raya paling kritikal buat Umno. Banyak peluru yang disimpannya. Kekalahan di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu bukan indikator segalanya cerah di sini.

Memang Nizar aset terbaik bagi menguji penerimaan rakyat Perak atas kemelut yang berkecamuk di negeri itu.

Sama-samalah kita bergelut dalam pesta demokrasi yang serba pincang ini, ya ... walaupun mungkin tanpa Harakah, berdepan tembakan gas pemedih mata, dan 'kesamsengan' jentera BN di bawah pengarah barunya ini, sambil mengharapkan ada kewarasan bagi membetulkan keadaan. _

Perdana Menteri BN yang terakhir

Dari awal, saya memang tidak tertarik dengan teori konspirasi dalam Umno, apa lagi terhadapdakwaan bahawa Abdulllah Ahmad Badawi kemungkinan besar tidak akan menyerahkan jawatan tertingginya dalam kerajaan kepada Najib Razak selepas perhimpunan agung Umno nanti. Abdullah bukannya seorang tokoh yang bersedia mendepani cabaran dan gugatan sehingga sanggup bertahan dengan prinsip yang didokong. Beliau kelihatan mudah tunduk dengan tekanan dan suka mengelak daripada bertembung dalam suasana lebih sukar.

Sudah ditakdirkan Abdullah menjadi Perdana Menteri dalam tempoh yang relatif singkat. Bermula dengan kejutan menang besar dalam pilihan raya umum 2004, Abdullah juga terkejut besar dengan tsunami politik 8 Mac 2008 yang memaksa dirinya berundur lebih awal. Sukar hendak dipastikan legasi tinggalannya yang menjadi kenang-kenangan generasi akan datang. Kalau projek Islam Hadarinya pun sudah dilupakan -- malah tidak difahami rakyat -- ketika beliau masih seorang Perdana Menteri, maka apa lagi mahu diharapkan dengan program lain yang diperkenalkannya. Namun begitu, beberapa langkah awal Abdullah untuk membenarkan Malaysia lebih menikmati suasana keterbukaan dan demokratik, mungkin akan dihargai satu masa nanti.

Sejak hari-hari pertama Abdullah mengangkat sumpah sebagai perdana menteri, Najib bukan pilihan utama untuk dilantik sebagai timbalannya. Beliau mengambil masa agak panjang, itu pun selepas "dipaksa" Dr Mahathir Mohamad, bagi memilih Najib. Orang lebih suka mengaitkan Muhyiddin Yassin -- yang juga dilihat rapat dengan Anwar Ibrahim -- sebagai tokoh yang wajar digandingkan bersama Abdullah. Bagaimanapun, siapa menyangka Muhyiddin kemudiannya menjadi tokoh paling lantang menolaknya ke tepi dinding dan memaksa Abdullah mempercepatkan pelan peralihan kuasa. Ternyata dari segi ini, Najib terhutang budi kepada Muhyiddin.

Semua sepakat bahawa imej Najib sebagai bakal perdana menteri begitu suram dan mendung. Bebannya menanggung pelbagai tuduhan dan dakwaan nampak berat dan meletihkan. Sepatutnya beliau melangkah masuk Seri Perdana dengan sorak-sorai yang bergemuruh, dengan harapan baru rakyat yang menggunung. Itulah suasananya ketika Tun Abdul Razak dan Dr Mahathir mengambil alih kuasa, malah begitulah juga sambutan luar biasa rakyat sewaktu Abdullah memulakan beberapa langkah pembaharuan. Bukan sahaja Najib dicurigai, tetapi lebih buruk lagi, isterinya, Rosmah Mansur turut "digeruni". Ia sudah tentu suatu perkembangan yang menyedihkan, bukan sekadar buat pasangan suami-isteri ini, malah kepada negara ini seluruhnya.

Abdullah tiada pilihan kecuali meneruskan pelan peralihan kuasa walaupun mungkin kini beliau menyedari Najib dan isterinya merupakan satu bebanan berat buat negara. Sudah terlalu lewat untuk Abdullah mencari jalan keluar dan beliau pula sememangnya tidak berkeupayaan menyanggah arus biarpun jika berbuat demikian beliau akan mendapat sokongan majoriti. Personalitinya tidak cukup kuat untuk membawa -- apatah lagi menjayakan -- suatu misi perubahan. Di kala mendapat sokongan hebat pada 2004, Abdullah mensia-siakan peluang terbaik itu, seolah-olah beliau hanya mahu menjadi seorang perdana menteri yang paling seronok ketika memerintah, sekadar bersantai memperagakan diri. Hanya ketika di hujung pemerintahannya, Abdullah nampak begitu tergesa-gesa untuk mencari sentuhan bermakna, tetapi ia sudah cukup terlewat.

Jika Abdullah boleh dianggap malang, nasib Najib sebagai pengganti lebih tidak keruan. Bayangkan sahaja, anak-anak kecil pun sudah mempersoalkan wibawanya untuk menerajui negara, apatah lagi untuk memartabatkan Malaysia di persada antarabangsa. Beberapa kes mutakhir, misalnya rampasan kuasa di Perak, semakin menunjukkan belang Najib yang menakutkan itu. Ia langsung tidak membantu Najib untuk memulihkan imejnya yang sedia buruk. Bayangkan sahaja jika BN kalah di Bukit Gantang dan Bukit Selambau, reputasi Najib terus menjunam dan ini menyukarkan beliau untuk memimpin negara keluar dari suasana kemelesetan dan ketidak-tentuan. Ya, mungkin segalanya diatur bagi menyempurnakan Najib sebagai perdana menteri terakhir dari BN. _

PPSMI: Lemahnya Abdullah, sampai ke akhir ...

Demonstrasi 100,000 rakyat menuntut agar rancangan "pelik, aneh dan bengap" Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan sememangnya berjaya dengan cemerlang sekali.

Sekalung tahniah buat pihak penganjur yang mengatur persiapan rapi sejak awal, juga para pejuang bahasa, aktivis budaya, pemimpin politik dan sudah pasti orang ramai, termasuk pelajar-pelajar sekolah yang bersedia dikejar anggota FRU dan ditembak gas pemedih mata, semata-mata bagi merakam sejarah baru era perjuangan bahasa yang lebih mencabar.

Kehadiran cukup memberangsangkan. Lautan manusia, walaupun terpecah-pecah kerana disuraikan polis secara ganas, bukan sekadar mahu menyampaikan mesej jelas-tegas buat pemimpin kerajaan BN, malah mereka bertekad tinggi untuk melakukan perubahan menyelamatkan masa depan anak bangsa. Mereka sedar penguasa sombong-angkuh BN selalunya sukar memahami bahasa lunak melalui diskusi, perbincangan meja bulat atau memorandum yang dikarang indah.

Justeru, perarakan raksasa 7 Mac lalu boleh dianggap langkah awal sementara menantikan respons sewajarnya, sebelum tindakan lebih berkesan melalui peti undi dapat dibuat kurang lebih tiga tahun lagi.

Ada pihak menyifatkan himpunan petang Sabtu itu satu kebangkitan menyeluruh umat Melayu (tanpa mengetepikan ia turut dimeriahkan oleh pelbagai NGO dari masyarakat Tionghua dan India) dan petanda penolakan mereka terhadap Umno yang terbukti telah "menjahanamkan" bangsa, agama dan negara. Orang Melayu dalam pilihan raya ke-12 lalu masih meninggalkan sisa-sisa sokongan buat Umno, namun parti berkenaan jelas "tidak mengenang budi".

Jerit derita orang Melayu tidak dihiraukan, malah diremehkan. Lihat saja layanan pemimpin Umno terhadap gema suara tokoh-tokoh Melayu, misalnya Sasterawan Negara A Samad Said dan bekas Ketua Pengarah DBP, Dr Hassan Ahmad.

Menteri Pelajaran, Hishammuddin Hussein bukan sahaja tidak mengambil berat bantahan tokoh-tokoh ini terhadap PPSMI, tetapi turut membuat tohmahan melulu bahawa mereka diperalatkan oleh pembangkang. Ya, selepas Umno menutup pintu daripada mendengar kritikan-teguran para pejuang bahasa ini, yang sarat dengan hujah bernas dan argumen konkrit, pemimpinnya bertindak liar menghamburkan penghinaan, sehingga rombongan menghadap Yang di-Pertuan Agong pun ditembak gas pemedih mata secara sembrono dan membabi-buta.

Lalu, diulang-tayang propaganda tujahan media bahawa pihak yang didakwa mencetuskan keganasan adalah peserta himpunan atau penunjuk perasaan, walhal mereka sebenarnya yang menjadi mangsa. Semuanya taktik lapuk dan usang yang terbukti selama ini telah memakan tuan. Rakyat makin muak dan jelak, seperti marahnya mereka dengan rampasan kuasa di Perak dan bagaimana paparan media terhadap drama berkenaan.

Lebih aneh, Abdullah Ahmad Badawi yang bakal bersara beberapa hari lagi bersuara lemah memohon Kementerian Pelajaran supaya disegerakan keputusan yang wajar bagi mengelakkkan tercetusnya isu lebih besar pada masa depan. Laihnya Abdullah seolah-olah jawatan Perdana Menteri bukan miliknya lagi.

Mengapa tidak digunakan kuasa eksekutifnya untuk mencabut dasar "gila" ini, yang mana ketika diperkenalkan dahulu langsung tidak pernah dirundingi biarpun ia bercanggah dengan Perlembagaan dan apa jua undang-undang negara tentang dasar bahasa kebangsaan? Ataupun Abdullah sudah dikepung dan "diikat kaki dan tangannya" oleh Najib Razak, sehingga terpaksa melutut meminta ehsan kepada Ketua Pemuda Umno, Hishammuddin, yang juga sepupu Najib? Memalukan betul! Sedangkan ramai mengharapkan Abdullah mampu menjernihkan suasana yang dilihat serba buntu dalam tempoh kritikal ini. Ataupun Abdullah kini ibarat harimau kehilangan taring dan sudah dikerat kukunya.

Elok juga direnungi dua perenggan terakhir ucapan tokoh besar PAS, Almarhum Tan Sri Asri Muda, di bawah ini sewaktu menentang Rang Undang-Undang Bahasa Kebangsaan (1967) - yang terus mengagungkan bahasa Inggeris - di Parlimen, pada bulan Mac, 1967 di hadapan Perdana Menteri, Almarhum Tunku Abd Rahman. PPSMI pastinya lebih ganas dan merbahaya. Justeru, ia sewajarnya ditentang habis-habisan, sehebat mungkin, bagi memastikan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa utama dunia dapat dipulihkan, selain penganiayaan terhadap anak-anak kita dapat dihentikan segera.

"Tuan Yang Dipertua, saya percaya, bahawa suara hati yang saya kemukakan di Dewan ini, itulah juga suara hati yang lahir daripada nurani tiap-tiap seorang anggota Dewan yang berjiwa dan bersemangat cintakan bahasa kebangsaan, cinta sejati, cinta bersih bukan cinta celupan, tetapi Tuan Yang Dipertua, keadaan yang mengikat dan kepentingan yang mengelilingi mereka itulah sahaja yang saya rasa mungkin menyebabkan mereka tidak berani membuat tentangan; hati membangkang, seradang-radangnya, mulut membungkam seribu bahasa, hanya tangan terangkat ke atas menyatakan setuju pada zahirnya, tetapi menyerah kalah pada hakikatnya.

"Akhirnya, Tuan Yang Dipertua, saya berani menyatakan di sini bahawa tentulah bangkangan yang saya kemukakan ini akan ditindas atau akan dikalahkan dengan jumlah kepala-kepala penyokong kerajaan dalam Dewan ini nanti, tetapi, Tuan Yang Dipertua, biarlah sejarah mencatatkan bahawa kelulusan rang undang-undang ini adalah tambahan daripada dosa-dosa jenayah politik Umno yang telah begitu banyak untuk diadili oleh mahkamah sejarah keturunan bangsa Melayu yang akan datang kelak." _